Pembantu khas wakil rakyat maut basikal terbabas turun cerun


Pembantu khas wakil rakyat maut basikal terbabas turun cerun

"Mereka perlu memastikan aspek mekanikal basikal dalam keadaan baik untuk mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya lagi


IPOH: Seorang lelaki maut selepas basikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas di jalan raya berdekatan Jalan Simpang Pulai, di sini petang tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa Foo Hua Bin, 34, yang juga pembantu khas kepada seorang wakil rakyat, dipercayai dalam perjalanan menuruni cerun dari arah Cameron Highlands menghala ke Simpang Pulai.

Ujar Mior Faridalathrash, polis menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 2.35 petang.

"Siasatan awal pasukan penyiasat trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tempat kejadian berhampiran Dynasty Memorial Hill Imperium, Jalan Simpang Pulai, Ipoh.

"Semasa kejadian, penunggang basikal itu yang disyaki dalam perjalanan menuruni cerun dari arah Cameron Highlands menghala ke Simpang Pulai, telah hilang kawalan terhadap basikalnya lalu terbabas di atas jalan raya.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala basikalnya tidak mengalami kerosakan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut (SDR) dibuka untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu beliau meminta orang awam yang melihat kejadian berkenaan supaya berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Shahrul Rizwan Wan Ali, di talian 013-6218531 untuk membantu siasatan.
"
PDRM Perak ingin memberi nasihat kepada semua peminat sukan berbasikal supaya sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati semasa menunggang basikal di atas jalan raya, khususnya di kawasan cerun yang berbahaya.

"Mereka perlu memastikan aspek mekanikal basikal dalam keadaan baik untuk mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya lagi.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!