Pemandu maut, isteri dan anak cedera dalam kemalangan di lebuhraya


Pemandu maut, isteri dan anak cedera dalam kemalangan di lebuhraya


TAIPING: Seorang pemandu maut sementara isteri dan anaknya cedera apabila kereta jenis Perodua MyVi yang mereka naiki merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 216 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat sini, hari ini.


Ong Chee Wei, 40, yang beralamat di Ayer Hitam, Pulau Pinang, disahkan maut di lokasi kemalangan.
Sementara isteri mendiang Chee Wei, Ai Xiang, 40, dan anak lelaki pasangan itu, Ong Kai Hong, 7, mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta mangsa dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.


Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang mereka naiki tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan dan bahagian belakang treler.

“Akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 9.07 pagi.


Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera.


Mangsa yang maut pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Muhamad Mustafa Kamal Ismail tamat pukul 10.20 pagi.
Gambar media sosial
#astroawani

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!