Peguam dakwa saksi tipu sejak hari pertama supaya Siti Bainun dimasukkan ke dalam penjara


Peguam dakwa saksi tipu sejak hari pertama supaya Siti Bainun dimasukkan ke dalam penjara


“Dalam laporan perubatan doktor mengesahkan lutut Bella tidak patah, berat Siti Bainun 150 kilogram (kg), saya cadangkan ini penipuan ke – 26 Yasmin,”  kata peguam itu lagi dan saksi mengatakan ‘tidak setuju’.


KUALA LUMPUR – Video tular kanak-kanak Sindrom Down Bella ditemui di sebuah kondominium pada 24 Jun tahun lalu yang dirakam oleh saksi pendakwaan pertama ditayangkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.


Bagaimanapun peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor memohon galeri awam dikosongkan dan hanya hakim, pendakwaan dan pembelaan dibenarkan memandangkan Bella merupakan kanak-kanak bawah umur dan dilindungi.


Hakim Izralizam Sanusi kemudian membenarkan permohonan peguam yang kemudian galeri awam itu dikosongkan.


Sejurus selepas prosiding bermula, melalui rakaman video, peguam itu bertanya kepada saksi itu Yasmin Nahar Mahmood, adakah di dalam video tersebut Bella ada menyebut nama Siti Bainun, saksi itu berkata ‘tidak’.


“Dalam video itu, Mommy (saksi pendakwaan pertama Zurianty Sudin) ada bertanya kepada Bella siapa ikat dan Bella mengatakan ‘Shomin’.(Yasmin) Betul? ” tanya peguam itu, Saksi itu mengatakan ‘betul’.


Dalam prosiding sebelum ini Yasmin mengesahkan panggilan Bella kepadanya adalah Shomin.


Dalam prosiding lalu, Zurianty yang juga rakan baik Siti Bainun, menafikan rakaman video yang diambil itu untuk ‘leak’ (bocor) atau disebarkan dalam media sosial selain untuk mendapatkan perhatian umum.


Zurianty turut mengakui bahawa dua laporan polis dibuat masing-masing pada 24 Jun dan 1 Julai 2021 bertujuan supaya Siti Bainun ditangkap selain bersetuju dengan cadangan peguam, dia menulis ‘hari -hari’ di laman sosial Facebook ‘counting days’ (menghitung hari berhubung kes Bella).


Terdahulu dalam prosiding sama saksi pendakwaan kelima itu menafikan bahawa segala keterangan yang diberikan kepada mahkamah adalah untuk ‘mengenakan’ Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali supaya dimasukkan dalam penjara.


Yasmin Nahar Mahmood, 19, turut menafikan bahawa semua keterangannya adalah palsu  selain dia dan ayahnya telah dibayar.


Ketika ditanya soalan cadangan peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor bahawa saksi itu menipu sejak hari pertama memberi keterangan, saksi itu tidak bersetuju.


“Saya cadangkan Yasmin menipu dari hari pertama, supaya Bainun dimasukkan penjara? Yasmin setuju?, soal peguam, saksi itu berkata ‘tidak setuju’.


Dalam pada itu, semasa prosiding peguam turut menyanggah keterangan saksi tersebut yang mengatakan lutut Bella telah dipijak oleh Siti Bainun.


“Dalam laporan perubatan doktor mengesahkan lutut Bella tidak patah, berat Siti Bainun 150 kilogram (kg), saya cadangkan ini penipuan ke – 26 Yasmin,”  kata peguam itu lagi dan saksi mengatakan ‘tidak setuju’.


Perbicaraan bersambung lagi petang ini


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!