Lapan barang bukti kes Bella tidak diambil gambar


Lapan barang bukti kes Bella tidak diambil gambar

"Saksi ketujuh pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa pihaknya tidak mengambil lapan gambar bahan bukti bagi kes menganiaya seorang kanak-kanak perempuan sindrom down dikenali Bella."


KUALA LUMPUR – Saksi ketujuh pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa pihaknya tidak mengambil lapan gambar bahan bukti bagi kes menganiaya seorang kanak-kanak perempuan sindrom down dikenali Bella.


Barang-barang tersebut ialah cawan Ikea dan Starbucks, batang penyodok, besi penyangkut langsir, tali rafia, kain perca pengikat mulut serta dua jenis cecair pelembut pakaian.


Jurufoto Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Detektif Koperal Sadzlyee Sairen berkata, ia tidak dilakukan kerana tiada arahan diterima daripada pegawai atasan.


Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam, Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Siti Bainun, bahawa gambar barang kes akan diambil sekiranya PDRM menerima laporan daripada pengadu.


Nurul Hafidzah: Saya cadangkan, kalau tiada dalam laporan atau kenyataan pengadu, maka gambar barang kes tidak akan diambil.


Sadzlyee: Saya tidak pasti.


Nurul Hafidzah: Katakanlah, pengadu dakwa dipukul dengan sesuatu, saya cadangkan, Koperal kena ambil gambar barang bukti itu.


Sadzlyee: Setuju.


Bagaimanapun, ketika menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nor Azizah Mohamad, saksi itu berkata, tidak mengenali pengadu dalam kes ini.


Sebelum ini, turut memberi keterangan ialah saksi keenam pendakwaan, Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah (D11) Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak di Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur, Nazatul Madiyah.


Beliau berkata, ketika kejadian, beliau bertugas sebagai pegawai tangkapan, telah menerima arahan untuk menahan seorang wanita di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada 6 Julai 2021.


Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh TPR Nor Azizah, Zahida Zakaria dan Zilfinaz Abbas manakala pembelaan dibarisi peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Nor serta Nurul Hafidzah.


Pada 20 Ogos 2021, Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.


Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak tersebut.


Prosiding di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 30 Mei depan.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!