Kes Bella: Rina nafi KPWKM tidak ambil tindakan
"Rina berkata, antara tindakan yang diambil adalah melucutkan hak penjagaan anak angkat kepada Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali tahun lepas."
KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada Khamis menafikan bahawa kementerian itu tidak mengambil sebarang tindakan berkaitan kes pengabaian dan penganiayaan remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, antara tindakan yang diambil adalah melucutkan hak penjagaan anak angkat kepada Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali tahun lepas.
Beliau berkata, selain itu, pihaknya turut telah menyita rumah jagaan berkenaan serta mengeluarkan kompaun pada Julai tahun lepas.
"Kita telah memberi bimbingan emosi kerana dia (Bella) agak trauma, kita perlu pastikan dia lebih sihat dari segi keadaan fizikal dan emosi.
"Kita juga telah memperketatkan undang-undang untuk orang yang layak dan sesuai (dalam hak penjagaan kanak-kanak) ini. Beberapa pindaan telah dilaksanakan supaya perkara seperti ini tak berlaku lagi,” katanya di sini pada Khamis
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Khemah dan Bantuan Aktiviti Syawal bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parlimen Titiwangsa di Dewan Komuniti Desa Pandan di sini.
Menjawab pertanyaan wartawan mengapa beliau mengambil sikap berdiam diri dalam isu Bella, Rina berkata, tindakan itu adalah demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan remaja berkenaan.
"Ada perkara yang (dibuat) sebelum ini tidak dimaklumkan, tetapi (ia) tidak bermakna kita tak buat apa-apa atau ambil apa-apa tindakan.