Maut digilis selepas tercampak ke luar kereta

Jeli: Wanita maut digilis kenderaan lain selepas tercampak keluar dari kereta dipandu suaminya yang terbabas dalam kemalangan di Kilometer 130, Jalan Raya Timur Barat di sini, hari ini.



Dalam nahas pada 11.30 pagi itu, mangsa, Kamariah Wahab, 47, maut di lokasi kejadian.




Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama suami dan tiga anak mereka menaiki kereta Proton Wira dari arah Gerik, Perak.




"Sebaik tiba di lokasi, kenderaan itu hilang kawalan ketika melalui satu selekoh dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.



"Proton Wira itu melanggar Toyota Vios dan Perodua Alza yang datang dari hadapan.




"Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa tercampak keluar dari kereta lalu digilis Perodua Alza manakala Proton Wira dinaiki mereka terbakar," katanya ketika dihubungi, hari ini.




Ahmad Arifin berkata, tiga anak dan suami mangsa, Abd Razak Shalleh, 70, berjaya keluar daripada kenderaan yang terbakar itu.




Beliau berkata, suami mangsa parah manakala tiga anak, Siti Razanah Abd Razak, 18, cedera ringan manakala Nur Hafeza, 16 serta Nur Zahira, 10, bengkak di lutut kanan.



"Pemandu serta penumpang Toyota Vios cedera ringan manakala dua beranak yang menaiki Perodua Alza tidak cedera.




"Mayat wanita itu dibawa ke Hospital Jeli untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.



Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Penolong Penguasa Bomba Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.37 pagi dan lapan pegawai serta anggota bergegas ke lokasi.




"Kami difahamkan mangsa dan keluarganya dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah dan ingin ke Kuala Krai.




"Selepas merempuh dua kenderaan lain, Proton Wira itu dikatakan berpusing beberapa kali sebelum terbakar dan sebaik kami tiba, kereta itu masih terbakar namun tidak marak.



"Kami mengambil masa tiga minit untuk memadamkannya," katanya.

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!


Iklan

Shopee 1.1

Shopee 1.1 New Year Sale!

Pelbagai barangan dengan harga teristimewa hanya di Shopee


Olymtrade

Buat Duit sehingga USD 60 ke USD 300 setiap hari

FREE JOIN

Siapapun boleh jana pendapatan secara online dimana saja anda berada guna fon jer. Join sekarang FREE ja