Long Tiger sembunyi di rumah pondan

Alor Setar: Lelaki Rohingya dikenali 'Long Tiger' yang berjaya ditahan hari ini didapati menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, dekat sini.




Ketika ditahan kira-kira jam 3 petang itu, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 33, dikesan sekali lagi cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung namun tergelincir jatuh di lantai dapur rumah.






Menurut sumber, sepasukan polis Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor yang melakukan risikan menerima maklumat mengatakan Long Tiger bersembunyi di sebuah rumah.






"Bertindak daripada maklumat itu, sepasukan polis bergegas ke rumah terbabit namun penghuninya enggan membuka pintu dan ketika itu Long Tiger dilihat sudah memanjat bumbung untuk meloloskan diri.






"Anggota polis terpaksa memecahkan pintu dan mengarahkan Long Tiger turun daripada bumbung namun dia tergelincir dan terjatuh," katanya.




Sumber berkata, akibatnya Long Tiger mengalami kecederaan di kepala dan anggota badan kerana terjatuh dari bumbung rumah terbabit.




"Selain Long Tiger, polis turut menahan penghuni rumah terbabit yang juga seorang pondan berusia 40-an kerana didapati cuba melindungi lelaki dalam buruan itu," katanya.





Untuk rekod, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak, Johor sebelum perbicaraan bermula pada 15 Disember lalu, kira-kira jam 11.55 pagi





Sejak kehilangannya, Long Tiger menjadi buruan polis selain peguam mewakilinya, Datuk Sharudin Ali turut menarik diri daripada mewakilinya.




Dua anggota polis turut digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan tahan itu melarikan diri.





Difahamkan, satu sidang media khas akan dilakukan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay jam 12 tengah hari esok di pejabatnya.

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!