Kisar cili tepi tandas

Georgetown: Kisar cili tepi tandas. Itu gambaran keadaan menjijikkan dikesan di sebuah kilang memproses cili kisar dan kicap yang diserbu pihak berkuasa.



Premis itu antara dua kilang di Jalan Patani, di sini, yang diserbu Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menerusi Op Bersih.





Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata, pihaknya khuatir air di tandas berkenaan terpercik ke dalam pengisar cili berkenaan sekali gus boleh menyebabkan keracunan akibat bakteria e-coli.




Menurutnya, ketika pemeriksaan pihaknya menemukan najis tikus di beberapa tempat perapan selain beberapa bekas penyimpanan cili boh dan kicap yang tidak bertutup.





"Selain bahan makanan yang diletakkan di atas lantai, kita dapati keadaan lantai di hadapan tandas dan mesin pengisar agak lecak dan dikhuatiri air itu terpercik ke dalam mesin pengisar.




"Bekas gentian kaca yang digunakan bagi proses perapan kicap dan cili juga tidak sesuai digunakan dan dikhuatiri mereput, menyebabkan pencemaran dan keracunan," katanya ketika ditemui, di sini.





Katanya, pemilik kilang itu memaklumkan premisnya sudah beroperasi hampir 100 tahun dan diusahakan empat generasi keluarga itu selain memberitahu, cili dan kicap berkenaan dipasarkan di sekitar negeri di utara.




Dalam serbuan kedua di sebuah kilang mi sanggul pula, katanya, pihaknya menemukan tikus dan lipas di bahagian stor penyimpanan bahan makanan.




Katanya, selain berkarat, troli yang digunakan bagi meletakkan mi sanggul itu tidak bertutup dan dialas menggunakan kertas surat khabar.




"Turut ditemukan ialah kotak racun dalam stor penyimpanan makanan dan kita sudah mengarahkan supaya ia diasingkan bagi mengelakkan keracunan makanan.




"Kedua-dua kilang terbabit masing-masing menerima tiga dan satu kompaun mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM9,000 selain diberi notis penutupan selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983," katanya.




Difahamkan, pemeriksaan pernah dilakukan terhadap kedua-dua kilang itu pada tahun lalu, namun keadaan masih tidak berubah.





Dalam perkembangan sama, Mohd Wazir berkata, berikutan kilang mi sanggul berkenaan mempunyai sijil halal dan logo Makanan Selamat Tanggungan Industri (MeSTI) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihaknya akan memanjangkan isu mengenai tahap kebersihan kilang mi sanggul berkenaan kepada pihak terbabit.




"Kita memandang serius perkara ini dan penggunaan logo itu mesti ditarik balik kerana mengelirukan pengguna, sehubungan itu kita syorkan syarikat lain yang mempunyai sijil halal dan MeSTI supaya sentiasa menjaga tahap kebersihan," katanya.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!