Irma yang juga antara Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia berkata, hatinya amat tersentuh melihat sendiri bagaimana mereka (pelarian) menjalani kehidupan meskipun dicengkam cuaca sejuk terutama kanak-kanak.
"Peperangan yang melanda Syria merampas momen indah mereka. Bagi kanak-kanak yang tinggal di kem pelarian, keadaan mereka sangat sukar dan serba kekurangan. Apabila musim salji, keinginan untuk bermain tetap ada.
"Dengan baju nipis, kadangkala tidak berstokin dan kasut, mereka tetap keluar dari khemah. Apabila salji cair, air bertakung, anak-anak ini akan bermain di kawasan lopak air tersebut. Kaki yang terendam dalam air sejuk tidak dihiraukan.
"Kesannya, ada yang menderita sakit melecur kulit atau 'frostbite' dan ada juga yang terkena serangan hipotermia. Realiti penderitaan yang mereka lalui ini boleh kita baca dan lihat sendiri menerusi laporan media," katanya.