Sebanyak 20 daripada mangsa di Selangor manakala tujuh lagi di Pahang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sehingga petang hari ini, 20 individu dikenal pasti menjadi korban banjir di negeri itu.
Beliau berkata, selain di Seksyen 25 Taman Sri Muda, Shah Alam, mayat mangsa banjir turut ditemui di Kajang, Sungai Buloh dan terbaharu di Klang.
Di kawasan paling teruk dilanda banjir di Selangor iaitu Seksyen 25 Taman Sri Muda, sebanyak sembilan mayat dijumpai pasukan penyelamat sejak Sabtu lalu sehingga awal pagi hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, enam daripada mayat berkenaan ditemui di dalam beberapa rumah membabitkan lima wanita dan seorang lelaki, manakala tiga lagi mayat ditemui di sekitar Taman Sri Muda selepas air mulai surut.
"Mangsa pertama, seorang lelaki dewasa ditemui pada 6 petang Sabtu manakala dua mangsa lelaki ditemui keesokannya pada 12 tengah hari dan 2 petang.
"Lima mayat ditemui semalam antara 12 tengah hari dan 8.35 malam membabitkan empat wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Norazam berkata, mayat seorang wanita lagi ditemui pada 6.20 petang di sebuah rumah setingkat dan dipercayai lemas.
Beliau berkata, tiga mayat mangsa lemas turut ditemui di sekitar bandar raya itu, masing-masing di lampu isyarat Kemuning Utama, Seksyen 33; di Jalan Utama masuk ke Alam Idaman, Seksyen 22 pada Ahad lepas; dan di bawah Lebuhraya Elite berhadapan MSU Seksyen 13 semalam.
Korban banjir di Pahang pula membabitkan dua di Kuantan, manakala lima lagi di Bentong.
Kejadian di Bentong membabitkan fenomena kepala air di dua kawasan iaitu di kawasan sebuah pusat peranginan - satu mayat ditemui, dua masih hilang - dan di Telemong yang membabitkan penduduk kawasan itu dan sehingga petang ini empat mayat ditemui manakala seorang masih hilang.
Pada 2014, banjir besar melanda lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Johor mengorbankan 21 orang di Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala 10 orang dilapor hilang.