Pengasas MyCar meninggal dunia akibat komplikasi jantung
Innalillahiwainnailaihirrojiun sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah buat arwah Mohd Noah Maideen
Putrajaya: Pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif MyCar Mohd Noah Maideen meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB) hari ini akibat komplikasi jantung.
Allahyarham yang berusia 45 tahun menghembuskan nafas terakhir pada 11.40 pagi di HSB.
Berita kematian arwah disahkan Pengurus Kanan Platform Apps Sdn Bhd Mohd Shafiq Affendi Mohd Abd Rahman dan menjelaskan arwah dimasukkan ke HSB sejak sebulan lalu bagi rawatan jantung.
Jenazah dijangka akan dibawa ke Surau Al-Ihsan, Setia Alam petang ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru, Klang.
MyCar adalah aplikasi e-hailing di negara ini yang sudah beroperasi sejak 1 Februari 2018.
Ia milik penuh Platform Apps Sdn Bhd dan dibangunkan melalui teknologi platform terkini dengan kerjasama syarikat teknologi maklumat dari Amerika Syarikat.