Lagi kes kanak-kanak jatuh bangunan, hari ini seorang kanak-kanak berusia 5 tahun maut jatuh dari tingkat 16
"Sumber memberitahu, dalam kejadian pagi tadi, mangsa bersama adiknya yang berusia empat tahun dipercayai berada dalam jagaan ibu saudara mereka. Bagaimanapun, mangsa disyaki terjatuh ketika ibu saudaranya sedang berada dalam bilik air."
KUALA LUMPUR: Selepas seorang kanak-kanak empat tahun maut terjatuh dari tingkat 29 kondominium di Jalan Ipoh dekat sini, semalam, hari ini, kejadian sama berulang apabila kanak-kanak berusia lima tahun terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Selayang.
Sumber memberitahu, dalam kejadian pagi tadi, mangsa bersama adiknya yang berusia empat tahun dipercayai berada dalam jagaan ibu saudara mereka.
"Bagaimanapun, mangsa disyaki terjatuh ketika ibu saudaranya sedang berada dalam bilik air.
"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian jam 2.41 petang itu, mangsa dipercayai ditinggalkan bersendirian di rumah oleh bapanya yang keluar membeli barang, dalam keadaan pintu berkunci.