Lelaki meninggal dunia ketika berjoging,
kes berkenaan diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Kota Bharu: Lelaki meninggal dunia ketika berjoging apabila mengalami sesak nafas sebelum rebah berhampiran kedai di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.40 pagi mengenai kejadian menimpa mangsa berusia 42 tahun itu.
"Berdasarkan temubual dengan saksi, mangsa pada mulanya dilihat sedang berjoging seorang diri dan tiba-tiba mengalami sesak nafas sebelum terjatuh di tepi jalan berhampiran kedai.
"Ahli keluarga juga memaklumkan mangsa kadang kala mengalami penyakit asma dan tekanan darah tinggi.
"Bagaimanapun, mangsa tidak mendapat rawatan di mana-mana hospital kerana tidak kerap diserang penyakit itu," katanya ketika dihubungi, di sini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan fizikal mendapati tiada unsur jenayah dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat
Katanya, kes berkenaan diklasifikasi sebagai mati mengejut.