Suami meninggal dunia kerana Covid-19
"Air mata suami mengalir ketika saya mengajarnya mengucap. Melihat air matanya membuatkan saya lemah, mujur abang ipar ada bersama dalam panggilan video itu dan turut berterusan mengajar arwah mengucap."
Sungai Petani: Melihat suami terlantar di katil hospital kerana Covid-19 sudah cukup meresahkan jiwa wanita ini, apatah lagi menyaksikan perjalanan terakhir lelaki kesayangannya itu sebelum menemui Pencipta.
Jika tidak dikenang empat anak berusia dua hingga 12 tahun dan seorang lagi yang sarat dikandung, Nor Fauziana Mohd Hafidz, 37, pasti rebah.
Namun wanita itu cekalkan hati serta sempat mengajar arwah suaminya, Mat Nizam Keriza, 36, mengucap dua kalimah syahadah ketika doktor membuat panggilan video untuk membolehkan mereka sekeluarga berada di sisi arwah buat kali terakhir.
"Air mata suami mengalir ketika saya mengajarnya mengucap. Melihat air matanya membuatkan saya lemah, mujur abang ipar ada bersama dalam panggilan video itu dan turut berterusan mengajar arwah mengucap.
"Tidak lama selepas itu, arwah meninggal dunia dan saya reda dengan pemergiannya," katanya yang berkongsi pengalaman 'di sisi' arwah yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, Isnin lalu.
Nor Fauziana yang dijangka melahirkan anak kelimanya pada 12 September ini mengakui air matanya tidak henti mengalir selepas doktor memaklumkan suaminya nazak.
Lebih perit pemergian itu selepas dua hari dia menyambut hari lahirnya iaitu pada 14 Ogos.
"Sebelum ini, setiap kali tiba hari ulang tahun kelahiran saya, suami pasti akan membeli kek tetapi kali ini tiada lagi.
"Saya juga agak terkilan kerana arwah suami yang paling tidak sabar menanti kelahiran ini. Kini dia tiada di sisi," katanya yang turut kehilangan ibu mentua, Zainab Mat Yasin, 70, disebabkan Covid-19, dua minggu lalu.
Mengenai arwah Mat Nizam yang bekerja di sebuah kilang di Kuala Ketil, wanita itu menyifatkan Allahyarham seorang suami dan bapa yang baik serta penyayang terhadap keluarga.
"Allahyarham begitu gembira kerana dapat membeli rumah buat kami sekeluarga di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil dan rumah itu baru tujuh bulan kami diami.
"Arwah beritahu yang dia gembira kerana dapat membahagiakan saya dan anak-anak," katanya yang turut memaklumkan sepatutnya Mat Nizam menerima vaksin Covid-19 pada 16 Ogos namun, tarikh itu menjadi tarikh kematiannya.
Sebelum ini, Mat Nizam dan keluarganya menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19, namun kesihatan arwah yang merosot menyebabkan dia dihantar ke HSAH.
Jenazah Mat Nizam dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Teloi Timur, hari ini.