SHOPEE 9.9! CRAZY SALE

Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!

Sindiket Judi online kaut puluhan juta Ringgit sebulan, sewa rumah mewah sebagai tempat operasi


Judi online raih RM 100 juta dalam tempoh 2 bulan, jadikan rumah mewah sebagai helah


Kuala Lumpur: Walaupun negara masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sindiket perjudian dalam talian (judi online) tetap berupaya meraih keuntungan puluhan juta ringgit sebulan melalui kegiatan jenayah dilakukan.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, pelbagai cabaran dan halangan dihadapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras kegiatan perjudian dalam talian membabitkan pusat panggilan rahsia.


Menurutnya, sindiket berkenaan dikesan kerap menjalankan kegiatan jenayah di kediaman mewah seperti banglo dan kondominium disewa khas sebagai markas operasi.


"Biasanya kawasan kediaman ini dikawal pengawal keselamatan, dilengkapi sistem keselamatan yang tinggi selain sukar dijejaki pihak berkuasa.

"Di samping itu sindiket juga menjalankan penyamaran melalui media sosial dengan menggunakan profil palsu bagi berurusan dengan pelanggan. Ini juga memudahkan proses pelanggan membayar pertaruhan perjudian atas talian.


"Lokasi pelayan (server) komputer juga sukar dikesan berikutan sindiket menggunakan kepakaran individu dalam bidang teknologi maklumat (IT) untuk mengaburi aktiviti," katanya.


Abd Jalil berkata, modus operandi pusat panggilan perjudian dalam talian ini juga acap kali berubah mengikut keadaan semasa.


"Bagi modus operandi pasaran tempatan, sindiket akan mempromosikan iklan perjudian melalui media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Wechat dan Telegram secara terus kepada pelanggan melalui group (kumpulan) yang dibuka mereka..

"Pelanggan hanya perlu menggunakan telefon pintar untuk mendaftar dan membuat pertaruhan secara dalam talian," katanya.


Beliau berkata, PKP juga mengubah landskap perjudian dalam talian untuk pasaran tempatan apabila pelanggan boleh membuat pertaruhan di mana-mana sahaja mereka berada termasuk di rumah.


"Bagi pertaruhan judi dalam talian untuk pasaran luar negara, sindiket kerap menyasarkan pelanggan atau mangsa yang berada di China.


"Sindiket mengumpan mangsa kononnya permainan atau pertaruhan judi dikendalikan itu senang dimain dan peluang untuk menang adalah tinggi. Biasanya mereka akan menghantar QR code kepada kaki judi berminat.


"Sindiket juga menggunakan pelbagai aplikasi judi menerusi laman sosial Wechat, Tiktok dan banyak lagi untuk memudahkan pelanggan mencuba nasib," katanya.


106 sindiket tumpas, RM4.5j dirampas


Kejayaan membanggakan apabila polis berjaya menumpaskan 106 sindiket perjudian di seluruh negara selain merampas wang tunai berjumlah RM4,565,017.


Ia hasil beberapa siri serbuan polis terhadap markas perjudian dan pusat mengatur pertaruhan judi dalam talian (judi online) bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu Mac tahun lalu hingga PKP 3.0 Ogos ini.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sebanyak 448 serbuan dilakukan terhadap sindiket perjudian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan lokasi serbuan berbeza seluruh negara.


Menurutnya, polis berjaya menahan seramai 3,192 individu tempatan dan warga asing bermula 18 Mac tahun lalu hingga 8 Ogos lalu.

Seramai 1,481 individu ditangkap membabitkan warga tempatan manakala seramai 1,711 lagi adalah warga China, Indonesia dan lain-lain negara.


"Selebihnya sebanyak 24,117 serbuan judi dibuat di premis perjudian di seluruh negara sepanjang tempoh itu membabitkan tangkapan terhadap 35,917 individu.


"Sebanyak 106 sindiket pusat panggilan perjudian dalam talian ditumpaskan dalam beberapa siri serbuan bermula PKP 1.0 hingga PKP 3.0 (setakat 8 Ogos)," katanya.


Abd Jalil berkata, ahli dan dalang sindiket yang ditumpaskan itu dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).


"Daripada jumlah serbuan itu, sebanyak 269 serbuan pusat mengatur pertaruhan judi dalam talian untuk pasaran tempatan. Manakala 179 serbuan lagi membabitkan pasaran luar negara.


"Sebanyak 15,111 unit peranti elektronik yang dijadikan alat mengatur perjudian dalam talian berjaya dirampas membabitkan komputer, komputer riba, telefon pintar dan mesin kira-kira," katanya.


Menarik Di Telegram


Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!





Jumlah pembaca orang.