Lelaki ditahan disyaki terlibat dalam kebakaran dua rumah di Kampung Semarang
KUCHING, 5 Ogos: Seorang lelaki diberkas disyaki terlibat dalam kejadian khianat dengan api yang memusnahkan dua buah rumah di Kampung Semarang, Petra Jaya hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditangkap oleh anggota dari Balai Polis Gita sekitar jam 10.30 pagi hari ini.
Beliau dalam kenyataan hari ini berkata suspek disiasat atas kesalahan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun dan denda.
Katanya, saringan air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.
ACP Ahsmon menambah suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah dan jenayah harta benda.
Terdahulu, dalam kejadian jam 2 pagi tadi, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba memaklumkan dua buah rumah di Kampung Semarang musnah terbakar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.