6 beradik hilang ibu, disusuli bapa akibat COVID-19
TUMPAT: Belum sempat kering air mata menangisi pemergian ibu akibat COVID-19, enam beradik sekali lagi menerima khabar duka apabila bapa yang dijangkiti wabak sama turut menghembuskan nafas terakhir satu jam setengah kemudian.
Pasangan suami isteri itu, Minah Ma'min, 69, serta Mahamood @ Omar Muhammad, 71, yang menetap di Kampung Tanjong Che Mas, di sini, masing-masing meninggal dunia pada jam 1.40 dan 3 pagi tadi di hospital.
Anak mereka, Zuraida Mahamood, 32, berkata ibu bapanya ibarat 'sehidup semati' kerana tidak pernah berenggang ke mana saja ketika hayat pasangan itu.
"Emak dimasukkan ke Hospital Tumpat, dua minggu lalu, selepas kerap demam dan kemudian disahkan positif COVID-19.
"Ketika itu, ayah yang berada di rumah turut menunjukkan gejala sama sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu," katanya kepada BH.
Zuraida berkata, sepanjang tempoh ibu bapa dirawat di hospital berasingan itu, beliau bersama lima beradik tidak berpeluang berbual melalui telefon dengan kedua-duanya.
Beliau berkata, ini kerana panggilan tidak dijawab dan adakala diberitahu bahawa mereka berasa sangat penat, justeru segala perkembangan ibu bapa diketahui menerusi petugas hospital yang turut mengirimkan foto.
"Dua hari selepas dimasukkan ke hospital, jururawat ada mengirimkan gambar emak tanpa memakai alat bantuan pernafasan. Ketika itu, kami menyangka keadaan emak semakin pulih.
"Bagaimanapun, kami kemudian difahamkan emak mengalihkan seketika alat berkenaan pada masa itu, mungkin kerana berasa tidak selesa atau ingin makan," katanya yang sedang menjalani kuarantin di rumah.
Zuraida berkata, mereka adik-beradik reda dengan pemergian kedua-duanya, namun berasa amat ralat kerana tidak dapat melihat wajah ibu bapa untuk kali terakhir.
Jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan sebelah-menyebelah di Tanah Perkuburan Islam Kubur Dato, Kampung Dalam Rhu, hari ini.
- BH