SHOPEE 9.9! CRAZY SALE

Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!

"Saya sudah dapat kerja... terima kasih rakyat Malaysia" - Ibu tunggal 5 Anak

KUALA LUMPUR: Kisah penderitaan yang dilalui seorang ibu tunggal, Suzanne Anton, membuka mata semua pihak bahawa pandemik turut memberi kesan bukan sahaja kepada golongan B40 bahkan turut menjejaskan kelompok M40.

Selepas beberapa hari laporan mengenai Suzanne yang hilang punca pendapatan selepas diberhentikan kerja di sebuah syarikat cari gali, hari ini, wanita berusia 45 tahun itu berkongsi berita gembira dengan Astro AWANI.

Kata Suzanne, laporan mengenai kehidupannya yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Astro AWANI baru-baru ini menghadirkan rezeki yang tidak terduga buatnya.

Menurutnya, dia baru sahaja diterima bekerja sebagai Eksekutif Kanan Perolehan di sebuah syarikat di Petaling Jaya.

Katanya, peluang pekerjaan itu diperoleh selepas memohonnya menerusi portal MYFuture job yang dirintis oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Apa yang membuatkan Suzanne bersyukur juga ialah skop pekerjaan yang ditawarkan itu adalah kepakarannya selama ini.
Kesyukurannya tambah berganda apabila jarak antara tempat kerja baharu dengan kediamannya juga tidak begitu jauh.

"Tempat kerja agak dekat dengan rumah dan tiada masalah pengangkutan buat saya. Gaji juga sudah dibincangkan, Insya-Allah saya akan mula bekerja pada Rabu ini.

Bahkan, kata Suzanne, dia juga menerima pelbagai bantuan kewangan dan barangan basah serta keperluan harian yang disalurkan oleh Lembaga Zakat Selangor, Ahli Parlimen, ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang persendirian.

Segala bantuan yang dihulurkan itu, kata ibu tunggal kepada lima orang anak itu juga sekali gus memberi ruang untuknya 'bernafas' sementara menunggu gaji pertamanya pada bulan depan.

Tambah Suzanne, semangat untuknya bangkit terus membara, malah dia berjanji akan membantu golongan ibu tunggal yang senasib dengannya.

Untuk itu, dia sudah berhubung dengan komuniti di kawasan tempat tinggalnya di Seri Manja, Taman Medan bagi mendapatkan maklumat sekiranya ada ibu tunggal yang senasib dengannya untuk dikongsi rezeki.

"Saya berniat dan berjanji nak kongsi rezeki dengan ibu tunggal yang lain juga, Insya-Allah saya akan sokong dan bantu mana-mana yang perlukan bantuan jangan malu untuk hubungi saya," jelas Suzanne lagi.

Sebelum ini, kisah Suzanne tular dan mendapat perhatian pelbagai pihak selepas penulis bertemunya di Petaling Jaya Rabu lalu.

Menerusi laporan itu, Suzanne mendedahkan bagaimana kehidupannya berubah daripada seorang bekerjaya dalam golongan M40 bertukar ke B40 selepas hilang pekerjaan lapan bulan lalu.

Lebih memilukan, Suzanne sanggup ketepikan peruntukan kewangan untuk membeli ubat sakit jantung yang dialaminya dengan membeli makanan untuk keluarganya.

Kesemua lima anak Suzanne masing-masing berusia 21, 17, 13, 11 dan 10 tahun.

Menarik Di Telegram


Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!