PETALING JAYA – Seorang lelaki yang cuba membunuh diri berjaya diselamatkan orang awam di Tingkat 11, Blok B, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang Utara di sini hari ini.
Difahamkan, lelaki warga tempatan berusia 25 tahun cuba membunuh diri kerana mengalami tekanan emosi akibat ketiadaan pekerjaan dan kesusahan hidup.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 11 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, mangsa telah diselamatkan oleh orang awam sebelum dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa yang berasal dari Ipoh, Perak itu bertindak sedemikian kerana tekanan emosi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, setakat ini mangsa menumpang di rumah rakannya di tempat kejadian.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden ini boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di 03-40482206,” jelasnya.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video di media sosial yang memaparkan seorang lelaki cuba membunuh diri dengan keluar dari tingkap namun dihalang orang awam.