PENDERITAAN yang dialami oleh etnik Rohingya memang mendapat perhatian dan simpati daripada rakyat dan kerajaan Malaysia.
Pada ketika ini, etnik tersebut dapat hidup bebas tanpa sebarang sekatan kerana mereka memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Jika diimbas sejarah lalu, penderitaan etnik tersebut bermula apabila pemerintah Myanmar mengiktiraf kewujudan 135 etnik lain tetapi tidak Rohingya.
Selepas Myanmar mendapat kemerdekaan daripada British pada tahun 1948, Akta Kesatuan Kewarganegaraan diluluskan namun etik Rohingya tidak disenaraikan dan perlu memenuhi beberapa syarat bagi membolehkan mereka mendapatkan kerakyatan.
Selepas rampasan kuasa pada tahun 1962 di Myanmar, nasib etnik tersebut sekali lagi berubah dan mereka diberikan kad pengenalan luar yang menyebabkan mereka sukar mendapat kerja.
Apabila undang-undang kerakyatan baharu diluluskan pada tahun 1982, Rohingya sekali lagi menjadi mangsa dan tidak mendapat pengiktirafan.
Sejak 1970-an berlaku beberapa pemberontakan terhadap penduduk Rohingya di negeri Rakhine menyebabkan ratusan ribu melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh, termasuk Malaysia, Thailand dan negara lain di Asia Tenggara.
Ketika berlaku pemberontakan kebanyakan pelarian Rohingya dilaporkan menjadi mangsa rogol, seksaan, harta benda mereka dimusnahkan dan dibunuh pasukan keselamatan Myanmar.