Alor Setar: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditemukan mati dipercayai dibunuh dalam kawasan kebun getah, Pokok Pauh Dalam, Mukim Lesong, Pokok Sena, dekat sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat remaja perempuan itu ditemukan selepas pihaknya menerima panggilan pada 7.45 malam pada hari kejadian.
Beliau berkata, mayat itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.
Katanya, pengecaman mayat dilakukan ibu mangsa semalam pada 11 pagi di HSB.
"Pengecaman itu dilakukan berdasarkan bentuk tubuh badan, rupa serta rambut si mati.
"Hasil pengesahan identiti mayat berkenaan disahkan sebagai Ooi Phei Xuan berusia 17 tahun yang menetap di Pekan Air Hitam, Jitra," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Shukri berkata, terdapat kesan kecederaan pada mangsa iaitu lubang di bahagian paha hadapan kanan mangsa yang berukuran 1.5 sentimeter.
Katanya, bedah siasat akan dilakukan di HSB esok jam 8.30 pagi.
"Susulan daripada itu, anggota dan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menahan lapan individu termasuk remaja yang disyaki terbabit dalam kes itu.
"Tangkapan dilakukan semalam pada 5 petang membabitkan lima lelaki dan tiga wanita berusia antara 13 hingga 33 tahun," katanya.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati, kesemua suspek mengaku berada bersama si mati dalam parti persendirian pada malam Ahad hingga pagi Isnin.
Menurutnya, susulan daripada itu, pihaknya menahan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun di Taman Derga Jaya, di sini pada 11.15 malam untuk membantu siasatan.
"Hasil siasatan juga mendapati, suspek tangkapan kedua juga mengaku terbabit dalam acara parti persendirian yang dihadiri si mati.
"Berikutan itu, Mahkamah Majistret Alor Setar membenarkan kesemua mereka ditahan reman selama enam hari sehingga 18 Mei ini untuk membantu siasatan," katanya.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap mereka mendapati, hanya seorang daripada sembilan yang ditahan didapati positif dadah jenis ketamin manakala yang lain negatif.
"Namun siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.