MANJUNG: Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 terhadap seorang pembantu kebun sayur atas kesalahan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Khamis lalu.
Hukuman itu dijatuhkan terhadap Muhamad Faizzuan Zulkifli, 24, selepas dia membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.
Muhamad Faizzuan dituduh mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik seorang kanak-kanak perempuan daripada penjagaan ibu kandungnya berusia 37 tahun, di hadapan kedai My Pet Zone, Seri Manjung pada jam 11.30 pagi, Khamis lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil, manakala tertuduh diwakili peguam, Khoo Kok Tong.
A Hafiizh kemudian menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara berkuat kuasa dari tarikh ditahan pada Khamis lalu dan denda RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki melarikan kereta PERODUA Bezza bersama kanak-kanak berusia 12 tahun pada jam 11.30 pagi, Khamis lalu sebelum cuba dihalang ibu kanak-kanak itu, namun gagal.
Suspek kemudian ditahan dengan bantuan orang awam dan kereta bersama kanak-kanak itu dapat diselamatkan.