Jempol: Seorang lelaki dikenakan kompaun RM4,000 selepas gagal mematuhi perintah kuarantin dengan keluar rumah untuk ke kedai bagi membeli minuman.
Gelagat lelaki berusia 53 tahun yang memakai gelang merah jambu itu disedari orang ramai sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, sebaik menerima maklumat, polis bergegas ke lokasi sebelum menahan lelaki itu berhampiran sebuah kedai di Taman ACBE jam 5 petang tadi.
Katanya, lelaki itu memandu sendiri kereta dari rumahnya yang terletak berhampiran kedai runcit namun tidak masuk ke dalam kedai.
"Berikutan itu lelaki yang menjalani kuarantin bermula Khamis lalu sehingga 6 Jun ini dikompaun RM4,000 kerana gagal mematuhi perintah kuarantin yang dikenakan ke atasnya," katanya hari ini.
Beliau berkata, individu yang dikuarantin wajib duduk di rumah dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati keluar walaupun untuk ke kedai.
Sementara itu, Chang Hook berkata, berikutan pelaksanaan fasa pertama sekatan pergerakan penuh, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol akan mengadakan pemantauan di hadapan Taman Sornam bermula Selasa ini.
Katanya, ia bertujuan mengurangkan pergerakan keluar masuk orang ramai ke dalam daerah Jempol khususnya ke bandar Bahau.