SHOPEE 9.9! CRAZY SALE

Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!

Kanak-kanak 11 Tahun Putus 3 Jari Main Mercun Bola


KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun putus tiga jari tangan kanan selepas terkena mercun bola dalam satu insiden di Kampung Kedai Buloh di sini pada Rabu.

Ibu saudara mangsa Wan Rahimah Wan Noh, 31, berkata insiden yang berlaku pada kira-kira 1 tengah hari itu menyebabkan Nor Syam Syah Kimiee Ahama putus jari telunjuk, jari hantu dan jari manis.

Wan Rahimah berkata sebelum itu, Nor Syam Syah keluar bermain mercun bersama-sama anak sulungnya, Aefan Rasha Adnan, 13, dan beberapa rakan lain di kawasan sungai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

"Ketika kejadian, Nor Syam Syah ingin melihat mercun bola yang telah dinyalakan kerana menyangka ia tidak menjadi (tidak meletup) tetapi sebaik sahaja dia mendekati mercun itu, letupan berlaku.

"Letupan itu menyebabkan tiga jari Nor Syam Shah putus dan dia hanya mampu berkata Subhanallah berkali-kali... seorang daripada rakan mereka segera membawa dia pulang ke rumah keluarganya sebelum dibawa ke klinik berdekatan," kata wanita itu kepada pemberita di rumahnya hari ini.

Kejadian yang menimpa Nor Syam Shah turut tular di aplikasi WhatsApp hari ini.
Bercerita lanjut, Wan Rahimah berkata lebih mengerikan, seorang rakan anaknya turut membawa pulang sebatang jari Nor Syam Syah yang sudah hancur dan diletakkan di dalam plastik manakala dua lagi jari tidak dijumpai.

"Saya terus mengajaknya mencari dua lagi jari Nor Syam Syah yang masih tidak dijumpai. Alhamdulillah, setelah beberapa ketika mencari, kedua-dua jarinya itu berjaya dijumpai," katanya.

Wan Rahimah berkata Nor Syam Syah kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu dan berada dalam keadaan stabil.

Ibu Nor Syam Syah, Wan Munirah Wan Noh, 40, ketika dihubungi berkata dia reda walaupun dukacita dengan kejadian yang menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu.

"Alhamdulillah, Nor Syam Syah sekarang baik walaupun dia masih terkejut dengan kejadian itu. Saya juga ingin menasihati kanak-kanak lain di luar sana untuk sentiasa berhati-hati ketika bermain mercun agar kejadian yang berlaku ini tidak akan menimpa orang lain pula," katanya.

Menarik Di Telegram


Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!