Ingatkan bom tangan rupanya power bank
Kuala Lumpur: Pekerja di sebuah tapak pembinaan di Jalan Davis, di sini, gempar apabila menemui objek menyerupai bom tangan, Jumaat lalu.
Bagaimanapun objek yang disangkakan bom itu adalah pengecas mudah alih (power bank) yang menyerupai bentuk bom tangan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan terbabit pada jam 12.41 tengah hari.
"Sepasukan polis dari Unit Pemusnah Bom (UPB) dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memeriksa objek yang ditemui pekerja terbabit.
"Anggota unit peronda polis juga dikerahkan ke lokasi bagi mengawal tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad Zainal berkata, selepas pemeriksaan dilaksanakan oleh UPB, objek berkenaan ialah pengecas mudah alih berjenama Remax.
"UPB mengesahkan objek yang dijumpai adalah 'power bank' dan bukan bom tangan," katanya.