KUALA LUMPUR: Haram bagi umat Islam yang sengaja menolak suntikan vaksin COVID-19 tanpa alasan yang munasabah. Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh memudaratkan diri sendiri tetapi boleh menjadi punca tersebarnya wabak berbahaya itu kepada orang sekeliling.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata sepatutnya isu keraguan tidak timbul memandangkan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam memutuskan penggunaannya adalah harus dan wajib diambil golongan ditetapkan kerajaan.
"Jika tidak ada sebab yang menghalang daripada pengambilan vaksin, maka haram jika enggan divaksinasi. Hal ini penting kerana ada kemungkinan, kita sendiri akan dijangkiti COVID-19 dan memindahkan pula wabak itu kepada orang lain.
"Jika tidak ambil vaksin, tentu sukar untuk kita pastikan tidak menjadi punca tersebarnya wabak ini," katanya.
Mengulas situasi semasa apabila ramai individu yang berdaftar tetapi tidak muncul di pusat vaksinasi kerana terpengaruh dengan pelbagai berita palsu, Wan Salim menasihatkan umat Islam supaya mengambil inisiatif merujuk sendiri dengan pakar yang berkaitan.
"Jangan sesekali dengar cakap-cakap orang, jika ada perkara yang diragui umpamanya ada ahli keluarga berdepan komplikasi kesihatan serius dan bimbang jika kesihatannya merosot sekiranya mengambil vaksin COVID-19, rujuklah dengan doktor pakar. Wajib untuk kita sebagai umat Islam untuk hilangkan keraguan itu," katanya.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang giat dijalankan bertepatan dengan salah satu kaedah dianjurkan Islam iaitu bertawakal ketika berdepan musibah.
"Dalam berdepan musibah COVID-19, ada empat perkara yang perlu diterapkan iaitu pertama reda dengan ujian yang hadir dan kedua, Islam menggalakkan kita bersabar. Ketiga, sentiasa bertawakal dan keempat bersyukurlah kerana Allah SWT menurunkan penyakit ini bersama penawarnya.
"Apabila pihak kesihatan sudah menemui vaksin bagi pencegahan COVID-19, jadi ini antara usaha yang disarankan oleh agama sebagai mekanisme mengelakkan penularan lebih besar," katanya.
Beliau turut menegaskan, penyebar berita negatif mengenai vaksin COVID-19 perlu berhenti menimbulkan keraguan dan menyebarkan berita palsu. Berdosa bagi umat Islam yang melakukan tindakan sedemikian, apatah lagi hampir semua dakwaan tidak dikemukakan dengan bukti yang sahih.
"Seluruh dunia mengambil vaksin termasuk negara Islam seperti Maghribi, Mesir dan Turki, bahkan Arab Saudi turut menetapkan antara syarat bagi menunaikan ibadat haji mesti sudah divaksinasi.
"Saya juga menyarankan Kementerian Kesihatan (KKM) melihat kelompongan dalam usaha merancakkan vaksinasi, misalnya menambah baik mekanisme bagi membolehkan lebih ramai warga emas menyertainya.
"Umpamanya boleh gerakkan pemberian suntikan vaksin dari rumah ke rumah atau secara pandu lalu kerana ada antara mereka yang bukan sengaja tidak hadir tetapi menghadapi kekangan termasuk keuzuran dan tinggal berjauhan dengan anak-anak," katanya.