2 warga India dilarikan 10 lelaki
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan sekumpulan 10 lelaki disyaki melarikan dua lelaki warga India dari sebuah restoran di Brickfields, di sini, petang semalam.
Ketika kejadian kedua-dua mangsa itu dilaporkan ditarik keluar secara paksa oleh kumpulan lelaki terbabit dengan disaksikan pekerja restoran itu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata pada masa ini siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mengenal pasti lokasi kedua-dua mangsa yang dilarikan.
"Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua mangsa ini adalah pekerja di sebuah restoran di Pandamaran, Klang, dan mereka melarikan diri selepas majikan gagal membayar gaji.
"Mereka yang dikenali sebagai Balamurugan dan Vadi Relu, menumpang di restoran di Brickfields," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anuar berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, bagi mengenal pasti kedudukan suspek dan mangsa yang terbabit.
"Kita juga mendapati seorang mangsa membuat laporan polis Sabtu lalu mengenai majikan mereka yang gagal membayar gaji," katanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang dengan salah.
Terdahulu tular di laman sosial rakaman suspek melarikan mangsa dipercayai dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.