"Kali terakhir suami hanya cakap mahu pergi ambil stok buah-buahan di Taman Desa Cemerlang, tetapi sehingga kini dia tidak pulang ke rumah."
Demikian luahan suri rumah, Hasrine Abd Rahman, 31, yang bimbang dan gusar apabila suaminya, Zukri Jamal, 36, hilang dan gagal dihubungi sejak 2 Mac lalu.
Katanya, usaha mencari suaminya dilakukan termasuk menghubungi keluarga, saudara serta rakan suaminya, namun tidak berjaya.
"Suami keluar rumah pada 9 pagi Selasa lalu kerana mahu mengambil stok buah-buahan untuk berniaga di pasar malam. Dia keluar macam biasa dan memaklumkan keluar hanya sebentar sahaja.
"Tetapi pada 3 petang, saya terima panggilan daripada adik ipar menyatakan suami masih belum mengambil buah-buahan yang ditempah.
"Saya menghubungi suami banyak kali, tetapi telefonnya dimatikan. Saya bertanya kepada keluarga dan rakannya tetapi mereka memaklumkan suami tiada.
"Saya bimbang dan bingung kerana kami tiada sebarang masalah," katanya dihubungi hari ini.
Hasrine berkata, dia membuat laporan polis berkaitan kehilangan suaminya di Balai Polis Johor Jaya, semalam.
Menurutnya, dia bersama keluarganya termasuk empat anak berusaha mencari Zukri di merata tempat sehingga ke Kota Tinggi, namun masih tidak menemuinya.
Katanya, dia merasa tidak sedap hati memandangkan suaminya tidak pernah bertindak menghilangkan diri sebelum ini.
"Sampai sekarang pun saya masih mencari suami. Siang malam saya cari dia di merata tempat.
"Suami tidak pernah berpisah dengan anak lelakinya yang berusia enam bulan. Sebelum ini kalau ada perselisihan faham antara kami, pasti suami akan bawa anak dan tidak mematikan telefon.
"Saya rasa tidak sedap hati, bimbang sesuatu kejadian buruk menimpa suami," katanya.