SHOPEE 9.9! CRAZY SALE

Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!

Kisah yang pernah menggemparkan negara 46 tahun lalu. ..

KAHWIN LEPAS TUKAR SEKS - Mohd Fauzi kini menjadi Sari Kartina nikah depan Kadi di JB

BERITA HARIAN - 7 November 1975

Seorang lelaki yang menjadi wanita melalui pembedahan setahun yang lalu telah menjadi isteri kepada seorang pemuda di Johor Bahru kelmarin. 

Cik Kartina binti Abdul Karim, 24 tahun, dulunya Mohd Fauzi bin Abdul Karim, bernikah dengan Encik Abdul Razak Othman, seorang peniaga dari Singapura di depan Timbalan Mufti Johor, Datuk Syed Alwee Abdullah, di pejabatnya di Johor Bahru. 

Keluarga Kartina hadir sama untuk menyaksikan pernikahan itu. Bapanya, Encik Abdul Karim Anang, bekas kerani Jabatan Ukur, mewalikan pernikahan anaknya itu.

Timbalan Mufti dan beberapa orang tokoh agama di Jabatan Agama mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengkaji dan menyelidik dari segi agama sebelum berkenan menikahkan Cik Kartina dengan Encik Razak.

Cik Kartina telah menunjukkan surat akuan dari Ketua Jabatan Perbidanan dan Pembedahan Universiti Singapura, Profesor Dr S.S Ratnam bertarikh 5 November 1974 kepada Timbalan Mufti.

Dia juga menyerahkan satu surat pengakuan kepada Datuk Alwee yang berbunyi "Sesungguhnya saya mengaku dan bersumpah dengan nama Allah, dengan tidak dipaksa oleh sesiapa pun, pada masa ini saya telah menjadi seorang perempuan dan keadaan saya seperti perempuan dan keinginan nafsu saya adalah kepada lelaki."

Cik Kartina yang tinggal di Jalan Padang Tiga, Stulang Baru, Majidee memberitahu kemudiannya "Hidup saya sekarang tidak ubah seperti orang buta yang celik semula"

Cik Kartina menjalani pembedahan menukar jantina di Hospital Kandang Kerbau, Singapura pada 24 Oktober 1974 atas galakan suaminya sekarang.

Dia memberitahu, pakar-pakar pembedahan di Singapura mengambil masa enam bulan untuk menyiasat keadaannya yang sebenar sebelum dibedah.

Dia tidak sedarkan diri selama tiga hari dan dalam masa dua minggu kemudiannya dia pulih seperti sedia kala dengan menjadi manusia baru.

Cik Kartina adalah anak Melayu pertama yang menjalani pembedahan menukar jantina di Singapura.

Cik Kartina adalah bekas penuntut Maktab Abu Bakar di Johor sebelum melanjutkan pelajaran ke ITM dalam bidang pengangkutan.

"Saya terpaksa tinggalkan ITM setelah menuntut selama dua tahun setengah kerana keadaan diri saya yang tidak cocok dengan pelajar-pelajar lelaki".

Kakaknya Cik Sarah mencelah "Fauzi (Kartina) sejak kecil lagi mempunyai tingkah laku sebagai seorang perempuan. Ketika umurnya meningkat 13 tahun, kelakuannya terus berubah. Dia tidak mahu langsung mencampuri orang lelaki, sekalipun adik-beradiknya sendiri".

Selepas meninggalkan ITM, Cik Kartina mengembara ke Indonesia dan bekerja di agensi hiburan dan megajar menari selama dua tahun dari 1970 hingga 1972. Pekerjaan terakhir Cik Kartina sebelum menjalani pembedahan ialah menjadi penyambut tetamu di sebuah hotel di Singapura.

"Selama berada di Indonesia dan Singapura, tidak seorang pun dari rakan-rakan menyangka saya adalah seorang lelaki ketika itu".

Dia berjumpa dengan Encik Razak, suaminya, dua tahun lepas di sebuah kelab malam di Singapura.

Cik Kartina berkata: "Saya telah menceritakan segala yang tersembunyi selama ini kepada suami saya dan dialah yang menggalakkan saya supaya menjalani pembedahan menjadi seorang wanita"

Menurut Cik Kartina semasa pembedahan dilakukan, dia tidak memberitahu keluarganya kerana takut mereka akan menghalang cita-citanya itu. "Tetapi sekarang saya bersyukur kepada Allah, segala-galanya telah berlalu, lebih-lebih lagi keluarga telah menerima saya sebagai seorang wanita yang baik", katanya.

Mengenai anak, Cik Kartina menerangkan: "Saya memang ingin mendapatkan anak. Bagaimanapun, saya diberitahu, dalam keadaan sekarang, saya tidak mungkin dapat hamil. Bagaimanapun, kalau saya hendakkan anak, terpaksalah saya menjalani sekali lagi pembedahan di Amerika."

Cik Kartina berkata, dia bercadang untuk mengambil anak angkat dan bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan Tuhan kepadanya sekarang ini.

Mengenai masa depannya pula, Cik Kartina menerangkan "Saya memang berhajat untuk bekerja, tetapi oleh kerana sijil persekolahan saya masih mempunyai nama "Fauzi" maka sukar bagi saya mendapatkan pekerjaan. Saya akan berusaha supaya nama saya dalam sijil persekolahan itu dapat ditukar dengan nama saya sekarang. Saya bercadang untuk membuka kedai pakaian dan alat-alat solek."

Suami Cik Kartina, Encik Abdul Razak mempunyai perniagaan di kantin sebuah pejabat di Anson Centre, Singpaura. Bagaimanapun pada masa ini, menurut keluarganya Abdul Razak tidak berada di Singapura.

Keluarga Abdul Razak agak terkejut dengan berita perkahwinan tersebut. Salah seorang adiknya memberitahu bahawa Abdul Razak memang pernah membawa seorang gadis ke rumah mereka dan menyatakan keinginannya untuk mendirikan rumahtangga dengan gadis itu. Sebelum ini, Abdul Razak pernah mendirikan rumah tangga, tetapi perkahwinannya itu tidak kekal. Dia mempunyai seorang anak dari isteri pertamanya.

Sementara itu, Mufti Singapura, Syed Isa Semait ketika dihubungi enggan memberikan pendapatnya tentang hukum menjalankan akad nikah, jika bakal isteri itu sebelumnya adalah seorang lelaki.

Mufti berkata, dia akan menghubungi Profesor Ratnam untuk mengetahui penjelasan lebih lanjut mengenai pembedahan itu.

"Saya kira perkara ini perlu ditinjau dengan lebih teliti lagi sebelum sesuatu keputusan dibuat", dia menambah.

***

Di manakah agaknya Sari Kartina sekarang? Berdasarkan usianya jika dia masih lagi hidup dia sudah berumur 70 tahun. Kisahnya 'meletup' cuma seketika dan akhirnya terus tenggelam dalam lipatan sejarah.

#sarikartina

Credit - Mohamed Hadi AH

Menarik Di Telegram


Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!