Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang tular selepas pelajar membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar sambil menconteng baju sekolah dengan tulisan mencarut terhadap guru.
Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya mengeluarkan notis temu siasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan itu.
Katanya, menunggang dan membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar adalah satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973.
"Mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan juga boleh di ambil tindakan di bawah Kaedah 6 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959.
"Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hanif Yusabra berkata, pihaknya memandang serius isu keselamatan jalan raya dan menasihatkan supaya ibu bapa memantau aktiviti anak-anak agar tidak terjerumus dengan aktiviti tidak sihat.
"Kami juga ingin menasihatkan kepada masyarakat supaya mematuhi undang-undang lalu-lintas yang ditetapkan supaya tidak membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial pelajar sekolah menengah yang membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar selain menconteng baju sekolah dengan perkataan mencarut terhadap guru.
Lokasi kejadian dipercayai di Kota Bharu.