Seorang lelaki terpaksa membawa isterinya yang masih berpantang dan dua anak mendaki bukit serta berteduh di pondok selepas rumah mereka di Kampung Kibabaig di sini, ditenggelami banjir.
Lovenus Gengai, 37, berkata, dia menyedari rumah mereka mula dimasuki air pada 2.30 pagi kelmarin dan mengejutkan isteri serta anak untuk bersiap.
Sebelum tidur katanya, sekitar 12.30 tengah malam, kawasan berkenaan belum banjir.
"Saya terjaga daripada tidur apabila merasakan air terkena tilam dan segera mengejutkan isteri dan anak (berusia sebulan dan lima tahun).
"Kami mula mendaki bukit kira-kira 4.30 pagi apabila air semakin naik dan berteduh di bawah pondok," katanya yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang.
Menurutnya, dia menyangka banjir akan cepat surut dan menunggu di atas bukit selama beberapa jam sebelum akhirnya menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan.
Katanya, pasukan penyelamat tiba pada 2 petang untuk membawa mereka ke PPS.
Seorang lagi mangsa banjir, Asnah Adam, 49, berkata, dia sekeluarga hanya sempat membawa dua pasang pakaian sahaja selepas rumah di Kampung Nambazan dinaiki air.
Katanya, banjir kerap berlaku di kawasan itu namun, dia tidak menyangka kejadian kelmarin terburuk sekali gus menyebabkannya tinggal sehelai sepinggang.
"Sebelum dibawa ke PPS, kami berteduh di rumah jiran yang dalam pembinaan. Terpaksa bergelap di situ semalaman memandangkan ia tidak siap lagi dan tiada tandas.
"Kucing peliharaan juga terpaksa ditinggalkan sementara di situ selepas kami berpindah ke sini (PPS)," katanya yang memberitahu kawasan rumahnya tenggelam banjir dan terpaksa menggunakan bot untuk ke sana.