Sikap DAP yang cuba mengubah dasar-dasar dalam Perlembagaan menjadi salah satu sebab Pas memutuskan kerjasama dengan parti itu.
Perkara iti didedahkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila memberitahu, mereka tidak selesa dengan DAP yang berubah daripada matlamat asal ketika mahu membentuk kerjasama antara kedua-dua parti.
Katanya, walaupun pada dasarnya kedua-dua parti berhasrat mahu mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU), namun DAP dilihat semakin galak apabila turut mencampuri hal-hak berkaitan Islam.
“Pengalaman kami dengan DAP adalah hanya untuk mendapatkan kemenangan dalam pilihan raya sahaja. Bila sampai nak realisasikan Perlembagaan terdapat percangggahan. Contohnya kita nak tegakkan Islam menghormati agama lain, Perlembagaan menyebut hak orang Islam menegakkan agamanya tanpa ganggu agama lain.
“Bila kita nak laksanakan hukum Islam mereka gelabah dan tak setuju…padahal kita tak ganggu hak dia tapi dia ganggu hak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program bual bicara bertajuk “Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita” anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) yang dibuat secara maya hari ini.
Program tersebut dikendalikan anggota MPN, Dr Muhammad Asri.
Abdul Hadi seterusnya berkata, perkara lain yang turut tidak disenangi oleh Pas terhadap DAP adalah kemahuan mereka apabila berkeras mahu mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan.
Katanya, jika kemahuan DAP itu diturutkan ia sudah pasti akan mengundang bala kepada orang Melayu kerana rata-rata yang tinggal di kawasan bandar adalah kaum Cina.
Katanya, DAP juga turut mencampuri urusan Raja-Raja Melayu dimana institusi beraja merupakan tonggak kepada keseluruhan umat Melayu di negara ini.
Tambahnya, DAP memiliki sikap ‘berlebih-lebih’ apabila turut mengganggu perkara berkaitan bahasa di mana semua masyarakat tahu bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di negara ini.
“Dan lebih melampau lagi bila DAP ini menang pilihan raya sesama bersama Pakatan Harapan. Usaha-usaha mengubah Perlembagaan itu berlaku. Jadi, dengan sebab itu lebih terang dan nyata kita tidak perlu bekerjasama dengan mereka,” ujarnya.