SHOPEE 9.9! CRAZY SALE

Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!

Rumah Uzur, Guna 10 Baldi Untuk Tadah Air Hujan...


 "Sebak rasanya setiap kali melihat anak dan cucu bersesak mencari tempat perlindungan apabila air hujan masuk ke dalam rumah menerusi atap bocor," kata Nita Matil.


Malah, Nita, 48, yang tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1, dekat sini, bersama lima anak dan lapan cucu kerap tidur dalam keadaan basah.


Menurutnya, permohonan bantuan membaiki rumah uzur itu sudah diserahkan beberapa kali kepada pelbagai pihak termasuk pengurusan Kesedar.


Bagaimanapun, dakwanya, permohonan itu tidak dilayan, sebaliknya peneroka lain yang tinggal di RKT sama sentiasa mendapat bantuan membaiki rumah.


"Saya cukup sedih apabila gagal mendapat bantuan membaiki rumah itu hingga saya bersama anak dan cucu tinggal dalam keadaan terbiar.


"Suami saya, Yunus Mamat, 78, yang juga peneroka Kesedar tidak mampu lagi bekerja kerana menghidap penyakit asma," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.


Nita berkata, suaminya menjadi peneroka di RKT itu sejak dibuka lebih 40 tahun dulu, tetapi sejak akhir-akhir ini rumah kayu didiami semakin rosak.


Menurutnya, bukan sahaja atap bocor hingga terpaksa menadah air hujan dengan sekurang-kurangnya 10 baldi, lantai dan dinding kayu semakin reput.


"Suami sekarang bergantung kepada bantuan sara hidup tanam semula ladang sawit RM1,000 sebulan dan perbelanjaan makan pun tidak mencukupi.


"Saya ada kebolehan mengurut wanita selepas bersalin dan pendapatan tambahan sekitar RM200 sebulan bergantung kepada jemputan mengurut," katanya.


Sementara itu, Yunus berkata, kini dia terlantar di rumah kerana menghidap asma kronik dan kerap menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).


Katanya, dia pernah membaiki rumah itu 20 tahun lalu, tetapi tidak sempat disiapkan menyebabkan keadaan kediaman itu kini semakin uzur.


Menarik Di Telegram


Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!