SHOPEE 9.9! CRAZY SALE

Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!

Nenek Buta Mampu Mengasuh 9 Cucu...



 Cacat penglihatan bukan halangan seorang nenek menjaga dan membesarkan sembilan cucunya dengan penuh kasih sayang, malah empat daripada mereka kini berjaya menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).


Siti Aminah Abd Rahman, 70, berkata, tanggungjawab menjaga semua cucunya digalas bersama suami, Juriamin Nawawi, 84, yang uzur dan menunjukkan gejala pelupa.


Warga emas itu yang menetap di Kampung Peket 60 di sini, berkata, dia menjaga semua cucunya itu selepas anaknya, Salimah Juriamin yang juga ibu sembilan beradik itu meninggal dunia akibat kanser payudara pada 4 Disember tahun lalu.


"Selagi hayat dikandung badan saya akan memastikan nasib mereka terbela dan mendapat kasih sayang sepenuhnya," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.


Menurutnya, dia mahu semua cucunya yang berusia tiga hingga 23 tahun mendapat pendidikan terbaik.


"Bagi saya pendidikan amat penting dan harapan saya ingin melihat mereka menjadi insan berguna suatu hari nanti," katanya.


Cucu sulungnya, Irfan Syazwani Ismail, 23, berkata, dia dan adik-beradiknya menetap bersama nenek sejak 11 tahun lalu.


Katanya, bapa dan Allahyarham ibunya sebelum ini menetap di Kuala Lumpur tetapi mengambil keputusan pulang ke kampung.


"Namun, selepas arwah emak meninggal dunia, ayah berhijrah semula ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kehidupan. Ayah tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya dan sering mengirim kami duit belanja dan sesekali pulang serta bermalam di sini," katanya.


Irfan yang menuntut di Univerisiti Selangor (Unisel) berkata, dia sedih setiap kali mengenangkan nasib mereka sekeluarga yang hidup serba kekurangan.


"Saya selalu pesan kepada adik lain jangan pernah putus asa dan teruskan menuntut ilmu untuk kesenangan masa depan. Saya juga perlu kuat untuk memastikan adik lain tidak tercicir dalam pendidikan," katanya.


Menurut Irfan, dia bersyukur kerana datuk dan nenek memberi kasih sayang serta menjaga mereka sembilan beradik walaupun dalam keadaan uzur.


"Kami mahu menggembirakan datuk dan nenek. Kami seronok tinggal dengan mereka walaupun serba kekurangan.


"Kami tidak pernah patah semangat, malah sedaya upaya membahagiakan hati mereka untuk meneruskan kehidupan lebih baik," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar, Ahmad Zhafri Md Noor berkata, pihaknya tersentuh melihat empat daripada sembilan beradik itu bersemangat meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi.


"Kisah ini boleh menjadi inspirasi kepada masyarakat bahawa dalam keadaan keterbatasan, soal pendidikan tidak dilupakan.


"Kami menghulur sumbangan barangan keperluan dapur dan komputer riba bagi meringankan beban dihadapi keluarga ini," katanya.


Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam (12131023216363) atas nama Iwani Sajiah Ismail atau menghubungi mereka di talian 017-6063955.



Menarik Di Telegram


Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!





Jumlah pembaca orang.