Koyak Quran, Muqadam dan Beduk Ditoreh sebelum dibuang ke longkang



 Seorang kontraktor lelaki ditahan selepas melakukan khianat dengan membuang beduk dan peralatan termasuk mengoyakkan Al-Quran dan Muqaddam sebelum membuangnya ke dalam parit, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, berkata dalam kejadian pada Isnin sekitar jam 7.30 pagi di Surau Al-Rahman, Parit Haji Samsuri, Simpang 3, Kuala Kurau, di sini, penduduk gempar apabila mendapati peralatan surau seperti beduk, tikar, Al-Quran dan Muqaddam ditemui di dalam parit berhampiran surau.


Menurutnya pemeriksaan lanjut mendapati kulit beduk tersebut ditoreh dan dikoyakkan malah penduduk turut menemui kesan racun di tuang di kawasan parit itu sehingga menyebabkan beberapa ekor ikan mati.


"Selain daripada peralatan surau, penduduk turut menemui plan rumah dan barangan peralatan pertukangan berkaitan kontraktor perumahan dipercayai milik seorang penduduk di sini.


"Susulan itu satu laporan polis telah dibuat penduduk dan bertindak atas laporan suspek berusia 43 tahun berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, untuk tindakan lanjut," katanya dihubungi.


Menurutnya lagi berdasarkan maklumat dan siasatan, suspek dikatakan mempunyai masalah mental dan sering berhalusinasi.


"Suspek dikatakan melakukan perkara itu kerana berhalusinasi dan bagi mengelakkan bencana alam berlaku sekiranya barangan tersebut tidak dibuang ke dalam parit.


"Malah terdapat saksi yang tinggal berdekatan surau melihat kejadian itu dilakukan suspek sekitar jam 7.00 pagi.


"Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung tindakan suspek dan berdasarkan maklumat daripada isterinya, suspek mengalami masalah mental dan masih dalam rawatan," katanya.


Tambahnya lagi, suspek kini ditahan reman selama tiga hari sehingga Jumaat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!