Kedai runcit milik penyanyi Lan Kristal, 35, dan isterinya Shiela, 35, dekat Puchong, di sini, disamun seorang lelaki, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, individu terbabit melarikan wang tunai lebih RM500.
Shiela atau nama sebenarnya Nur Sheila Hashim berkata, lelaki terbabit muncul secara tiba-tiba dan meminta wang RM500 sebelum menyuruh pekerja mereka menyerahkan semua wang dalam mesin juruwang di kaunter bayaran.
"Ketika kejadian, saya dan Lan berada di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk menjayakan raptai sebuah program hiburan. Ketika itu, pekerja kami menghubungi kami bertalu-talu tetapi saya abaikan kerana nak fokus kepada acara itu.
"Sebaik selesai, saya terus hubungi mereka semula dan dimaklumkan mengenai kejadian itu. Kami terus periksa kamera litar tertutup (CCTV) untuk melihat rakaman kejadian itu.
"Memang dia buat kerja sangat pantas dan tak sampai tiga minit pun. Dia datang mengugut pekerja kami kononnya meminta bayaran untuk barang yang kami pesan sedangkan kami tidak pesan apa-apa pun," katanya.
Menurut Shiela, ketika kejadian hanya dua pekerja berada di kedai itu.
Katanya, walaupun dua pekerja itu masih trauma dengan kejadian itu, namun dia bersyukur kerana mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mujur lelaki itu tidak bersenjata. Namun, agak untuk mengenal pasti individu itu kerana dia memakai pelitup muka dan tergesa-gesa meminta wang daripada pekerja saya," katanya.
Sheila berkata, pekerjanya membuat dua laporan polis semalam di Ibu Pejabat Pois Daerah Subang dan Balai Polis Bukit Puchong.