SHOPEE 9.9! CRAZY SALE

Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!

Istri Sanggup Berhenti Kerja Demi Menjaga Suaminya Yang Mengidap Kanser Mulut



 Seorang isteri sanggup berhenti kerja demi menjaga suaminya yang terlantar sakit disebabkan penyakit kanser mulut tahap empat dideritainya sejak dua tahun lalu.


Che Timah Che Ali, 60, berkata, suaminya, Mohd Fadzli Che Man, 53, yang dahulunya bekerja sebagai tukang rumah kini terbaring lesu di atas katil dan segala keperluannya perlu diuruskan termasuk memberi minum susu serta memandikannya.


Katanya, keadaan fizikal suaminya kini kurus kering dan hanya kelihatan kulit membalut tulang sehingga mengundang rasa pilu di hati setiap kali terpandang wajahnya menanggung derita dan kesakitan.


"Lebih menyedihkan, kesihatan suami semakin merosot pada Mac lalu kerana ketumbuhan di dalam mulutnya semakin membesar sehingga menyukarkannya untuk membuka mulut serta bercakap dan hanya mampu menggunakan bahasa isyarat tangan ketika hendak berkomunikasi.


"Pada awal 2018, suami mengadu tidak selesa pada tekak dan mulut sebelum pemeriksaan di hospital menemui jawapan yang langsung tidak pernah terduga.


"Sebelum itu, terdapat ketumbuhan sebesar ibu jari di bawah lidah suami, namun tidak menyangka ia adalah kanser sehinggalah ketumbuhan itu semakin membesar dan menyebabkannya pecah di dalam mulut.


"Bimbang dengan keadaan itu, saya membawa suami mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Labok sebelum dia dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan melalui sampel diambil, doktor mengesahkan ia adalah kanser," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panggong, Pulai Chondong, hari ini.


Menurutnya, apabila suaminya disahkan menghidap penyakit kanser mulut tahap empat, dia merasakan dunianya seakan gelap seketika kerana sebelum ini suaminya sentiasa dalam keadaan sihat apatah lagi bekerja sebagai tukang rumah yang memerlukan kesihatan tubuh badan.


Katanya, pada Ogos 2019, suaminya mula menjalani rawatan kemoterapi bagi mematikan sel kanser daripada terus merebak, namun rawatan itu hanya sempat dilakukan sekali sahaja kerana dia tidak mahu meneruskan rawatan selain tidak tahan menanggung kesakitan kesan daripada kemoterapi.


"Bagi menumpukan sepenuh perhatian kepadanya, saya yang sebelum ini menjual jamu secara dalam talian terpaksa berhenti dan kini hanya mengharapkan ihsan penduduk setempat serta wang simpanan yang ada selain bantuan diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.


"Pada Mac lalu kerana ketumbuhan itu semakin membesar sehingga menyukarkannya untuk membuka mulut dan bercakap.


"Disebabkan keadaan itu, doktor terpaksa menebuk bahagian lehernya untuk saluran pernafasan selain memasang tiub di bahagian perut bagi memberinya minum susu.


"Sejak Ogos lalu, suami saya perlu berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian setiap dua kali sebulan untuk rawatan kemoterapi," katanya.


Che Timah berkata, suaminya kini bergantung sepenuhnya kepada susu khas yang diberikan enam kali sehari setiap tiga jam sekali melalui saluran tiub dipasang di bahagian perut bagi menggantikan sumber makanan lain.


Katanya, setiap bulan dia memperuntukkan sekurang-kurangnya RM700 untuk membeli keperluan suami termasuklah kos berulang alik ke hospital dan susu khas berharga RM46 setin yang hanya bertahan untuk tempoh dua atau tiga hari sahaja.


Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan terus ke akaun Bank Islam, 03-018-02-058229-2 atas nama Che Timah Che Ali atau menghubunginya di talian 013-3786645.


Menarik Di Telegram


Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!





Jumlah pembaca orang.