Ibu kepada seorang anggota Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang maut dalam kemalangan selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki bersama ahli keluarganya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Jalan Saujana, Taman Saujana, Lunas, di sini, hari ini.
Dalam kemalangan jam 8.40 malam itu, mangsa dipercayai tersepit dalam kenderaan terbabit sebelum disahkan meninggal dunia.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa adalah ibu anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Pulau Pinang iaitu Pegawai Bomba Ali Sheikh Bandar Idris.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 8.48 malam dan BBP Kulim pada jam 8.54 malam.
"Kemalangan itu membabitkan enam mangsa dalam kereta Perodua Kancil itu yang dinaiki dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan enam tahun, empat wanita dewasa berusia 30 hingga 50 tahun yang dipercayai satu keluarga dan seorang daripadanya maut.
"Penunggang motosikal berusia 27 tahun itu parah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, lima daripada mangsa dalam kereta Perodua Kancil itu berjaya keluar sendiri dari kenderaan itu.
Beliau berkata, anggota BBP Kulim yang dikerahkan ke lokasi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dengan menggunakan peralatan khas resque tools.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Anggota bomba membawa dua kanak-kanak lelaki dan seorang penumpang kereta Perodua Kancil itu ke Hospital Kulim manakala penunggang motosikal itu dibawa menaiki ambulans ke hospital sama," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim mengesahkan berhubung kemalangan itu dan seorang daripada mangsa meninggal dunia.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.