Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan prosiding kes membabitkan dua lelaki warga Myanmar yang berdepan pertuduhan merogol wanita kurang upaya pekak dan bisu.
Penangguhan itu dibuat susulan dua tertuduh, Akramullah Jamal Hussein, 23, dan Shunamiya Abdul Salam, 36, tidak memahami bahasa Melayu.
Justeru, Hakim Nooriah Osman menetapkan 3 Disember depan untuk pertuduhan dibacakan semula dengan kehadiran jurubahasa Myanmar.
Kedua-dua tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol berkumpulan dan boleh dipenjara maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Tiada sebarang jaminan ditawarkan memandangkan kedua-duanya adalah warga asing.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan dua lelaki Myanmar bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang wanita kurang upaya pekak dan bisu berusia 23 tahun di Ajil, Hulu Terengganu pada 11 November lalu.
Dua lelaki terbabit bekerja sebagai buruh di tapak projek pembinaan di Kampung Merbau Pulas, Ajil, ditahan antara jam 10 hingga 11 malam, hari sama.