Grand Rapids, Amerika Syarikat: Selama beberapa bulan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mentertawakan lawannya, Joe Biden kerana mengambil langkah berhati-hati dalam siri kempennya di saat pandemik Covid-19 masih membimbangkan.
Namun, kini Trump diduga dengan jangkitan virus berkenaan selepas disahkan positif Covid-19, kelmarin.
Berita berkenaan diterima hanya beberapa hari selepas Trump melekehkan usaha Biden mengambil terlalu banyak langkah berjaga-jaga terhadap virus, Selasa lalu.
"Dia (Biden) boleh bercakap dari jarak 200 kaki dari anda, tetapi dia memakai pelitup muka terbesar pernah saya lihat," katanya.
Ketika awal pandemik itu berlaku di AS, Biden, 77, mengasingkan diri di kediamannya di Delaware dan Trump menggelarnya sebagai Sleepy Joe kerana 'bersembunyi' di ruang bawah tanah, satu tuduhan yang disokong oleh penyokong Trump dan acapkali digunakan penyokong kem Trump.
Namun, siapa sangka, kelmarin Trump pula yang menerima rawatan di hospital tentera Walter Reed selepas didiagnosis positif.
Biden dilihat mementingkan usaha mencegah Covid-19 dengan mengelak tempat sesak selain memakai pelitup muka di tempat awam.
Tetapi, beliau berkongsi pentas dengan Trump untuk debat pusingan pertama, tiga hari sebelum Trump didiagnos.
Biden dan isterinya segera membuat ujian pada hari sama dan keputusannya negatif.