Polis sedang mengesan Proton Wira yang berjaya meloloskan diri selepas dikejar kereta peronda polis (MPV) di Taman Ria, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku jam 10 pagi apabila anggotanya mendapati kereta itu dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Taman Ria.
Katanya, sebaik anggota polis menghampiri kereta yang dipercayai memecut laju menyebabkan mereka mengejar kenderaan itu hingga ke Taman Ria Jaya.
"Anggotanya mengarahkan supaya pemandu kereta itu berhenti tetapi tidak diendahkan menyebabkan anggota terbabit meminta bantuan dari Gerakan Kuala Muda.
"Selepas hampir 10 minit mengejar kereta itu ke Taman Ria Jaya, kenderaan MPV mengalami masalah dan tidak dapat mengekori kereta itu," katanya.
Adzli berkata, anggota trafik kemudian memberi bantuan untuk mengejar kereta suspek yang menghala dari arah Jalan Taman Ria Jaya Ke Kelab Cinta Sayang.
Katanya, disebabkan jarak antara kereta trafik dengan kenderaan suspek jauh, ia gagal dikesan.
"Semakan melalui sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, nombor plat kenderaan yang dipandu suspek didaftarkan atas nama seorang wanita yang menetap di Slim River, Perak.
"Semakan mendapati, tiada rekod jenayah dilaporkan," katanya.
Adzli berkata, semakan mendapati penama kini dalam proses perceraian dengan suaminya dan membuat laporan polis pada 9 Ogos lalu bagi mendapatkan kereta itu.