SHOPEE 9.9! CRAZY SALE

Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!

Mufti Perlis akui malu dengan negara Barat dan negara jiran



 Pemimpin politik terlebih dahulu hendaklah menjadi pihak yang amanah dalam soal integriti supaya gejala rasuah dalam kalangan rakyat tidak berleluasa.


Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengakui kadang-kadang malu dengan negara Barat dan negara jiran yang mana dari sudut indeks rasuahnya lebih rendah dari Malaysia.


Katanya, negara berkenaan yang tidak mempunyai mufti, tidak pernah memulakan majlis dengan membaca al-Quran tetapi dalam bab rasuah, mereka lebih telus dan berintegriti.


“Kerana apa? Kerana mereka mempunyai nilai kesedaran diri, bahawa rasuah ini bukan meruntuhkan peribadi perasuah itu sahaja tetapi ia boleh meruntuhkan negara, boleh mengancam keselamatan negara.


“Walaupun mereka tidak sebut agama pun dalam ucapan atau pemerintahan tetapi mereka ada nilai maruah,” katanya mengupas isu semasa rasuah bertajuk, Mengapa Agama Melaknat Perasuah, dalam bual bicara menerusi saluran SPRM 360 hari ini.


Menurut Dr. Mohd Asri atau lebih dikenali dengan panggilan Dr. Maza, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengukuhkan sistem atau soal integriti dalam negara dengan turut menerapkan nilai agama.


Jelas beliau, suatu ketika dahulu masyarakat negara ini mempunyai pelbagai persepsi terhadap SPRM dalam menangani masalah rasuah.


Katanya, rakyat menganggap organisasi penguatkuasaan itu mempunyai kuasa besar tetapi dalam satu-satu kes mereka tidak berani menyentuh pihak yang terang-terangan melakukan rasuah.


“Mungkin yang SPRM tangkap itu benar tetapi kerana tangkap yang ini, tidak tangkap yang satu lagi maka pertikaian itu berlaku. Ini menyebabkan kepercayaan rakyat kepada SPRM tergugat dan sering diperdebatkan.


“Tetapi sekarang sudah nampak perubahan pada SPRM, sudah nampak ‘jerung-jerung’ mula ditangkap dan tidak dikecualikan. Dengan itu, penghormatan rakyat kembali menyerlah.


“Sebab bagi kita, SPRM ini adalah jantung atau buah pinggang yang akan menapis segala kekotoran yang ada dalam negara ini. Inilah peranan SPRM, supaya jangan rakyat pandang serong kepadanya,” kata beliau.


Dalam temubual itu juga, Dr. Maza menjawab soalan pendengar mengenai kekayaan luar biasa seseorang yang tidak sepadan dengan jawatan.


Menurutnya, SPRM perlu bertindak tegas dengan menjalankan siasatan lebih menyeluruh mengenai perkara itu.


Bagaimanapun, katanya, beliau melihat kebelakangan ini rakyat mula meletakkan harapan kepada SPRM berikutan tangkapan demi tangkapan dibuat terutama berkaitan soal 1MDB dan seumpamanya.


“Jangan ada sesiapa pun, baik perdana menteri, timbalan perdana menteri, anak-anak menteri terlepas kalau melakukan rasuah.


“Jangan ada satu orang pun bebas dan berada di atas dari kuasa untuk disoal siasat sebelum diambil tindakan. Bila ada bukti dan ada tanda-tanda menunjukkan ketidaktelusan rasuah itu berlaku, terus sahaja ambil tindakan,” katanya.


Justeru, beliau mengajak semua pihak agar mendidik diri sendiri dengan kembalilah kepada ajaran Islam.


Ujarnya, dalam Islam ada dua dosa, iaitu dosa kecil dan dosa besar.


Kata Dr. Maza, dosa kecil yang berkaitan dengan gosip dan hak bersangkutan dengan pejabat agama sewajarnya ditutup keaiban tetapi dosa besar seperti rasuah perlu diperhebatkan kerana perbuatan itu mengancam negara.


Menarik Di Telegram


Lazada 10.10

Lazada 10.10 Tenaga Sale!





Jumlah pembaca orang.