Langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan portal bahasa Mandarin tidak salah di sisi undang-undang kerana ia tertakluk dalam Seksyen 3, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, tegas Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.
Di bawah Seksyen 3 itu menyebut tiada apa-apa jua dalam akta ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak kerajaan mana-mana negeri untuk menggunakan apa-apa terjemahan dokumen atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain, bagi apa-apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam.
Berikutan itu, Teo meminta semua pihak terutama pemimpin-pemimpin politik berhenti menghentam SPRM kerana suruhanjaya itu tidak membuat sebarang kesalahan dengan mewujudkan portal berkenaan.
Menurutnya, sebagai sebuah badan undang-undang negara, tentu SPRM sudah mengkaji baik atau buruknya kewujudan portal ini.
Lagipun, bagi SPRM matlamat utamanya untuk memastikan setiap maklumat dan mesej penting sampai kepada semua pihak sudah dilaksanakan, walaupun tindakannya nampak tidak kena.
Sewajarnya, kata beliau, orang-orang politik yang melihat dan menilai semula mengapa berlaku kegagalan orang Cina memahami bahasa Melayu sedangkan ia adalah bahasa negara Malaysia.