(Video) Tragedi Bot Terbalik, Satu Lagi Mangsa Maut Ditemui Pagi Tadi



Satu lagi mayat mangsa bot terbalik di perairan Bachok ditemui pasukan penyelamat pada 8 pagi hari ini.

Menurut laporan Bernama, jenazah mangsa telah tiba di Jeti Projek Pemasaran Ikan Kuala Kemasin pada 2.15 petang tadi.

Dalam kejadian semalam, seramai 20 individu termasuk tekong dan awak-awak dilaporkan keluar memancing dan mencandat sotong sekitar jam 3 petang.

Malangnya, bot kelas A TRF 641 dinaiki mereka itu telah dibadai ribut sebelum terbalik pada malam Isnin.

Tragedi berlaku kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Projek Pemasaran Ikan Kuala Kemasin.

Berdasarkan maklumat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), seramai 12 mangsa telah berjaya diselamatkan bot nelayan berhampiran manakala empat mangsa ditemui lemas di tempat kejadian dan 4 lagi hilang.

Kesemua mangsa yang ditemui telah dibawa menaiki bot nelayan KNF 6682 ke Jeti Kuala Kemasin semalam.

Sebanyak lima buah aset maritim iaitu Bot Penyelamat 7, Penggalang 18, Kilat 27 dan 28 telah digerakkan untuk mencari mangsa yang masih belum ditemui.

“Kita telah menghantar penyelam untuk mencari mangsa yang masih hilang dengan sektor pencarian meliputi kira-kira 5 batu nautika dari kawasan bot nelayan yang terbalik,” kata Timbalan Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim, Leftenan Komander Maritim Dr. Suzanna binti Razali Chan.

Bot malang tersebut ditunda ke Muara Kemasin, Bachok, Kelantan.

Orang ramai, nelayan dan komuniti maritim setempat diminta menghubungi hotline 999 segera jika mempunyai maklumat yang boleh membantu pencarian mangsa yang masih hilang.


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!