Kembalikan mandat rakyat kepada PH, atau saya berhenti...



SEBUAH negara yang berfungsi bersedia untuk mempertahankan asas negara yang kita pilih. Asas ini ialah Demokrasi, Prinsip Undang-Undang dan Perpaduan Nasional.
Sebuah kerajaan yang hilang fokus dan hanya mementingkan untuk terus berkuasa akan menggadai prinsip negara dengan menjadikan politik untuk berjual-beli demi sebuah kuasa.

PN sejak awal kemunculannya tidak ada kena mengena untuk memelihara prinsip tegaknya sebuah negara. Nilai perundingan rakyat dikompromi dengan menidakkan amalan demokrasi berparlimen. Berbilion kantong negara dibelanjakan tanpa kelulusan parlimen sejak March 2020. 

Ketika ditegur dalam Pakej Rangsangan Prihatin PM langsung tidak peduli malah diikuti dengan Pakej Penjana untuk rangsangan kedua masih tanpa kelulusan parlimen. Runtuh sebuah demokrasi yang sepatutnya dipertahankan oleh mana-mana pemerintah.

Prinsip Undang-Undang kini hanya agenda sampingan. Amalan Rasuah yang telah didakwa nampak semakin malap sinaran keadilannya apabila satu persatu kes rasuah besar dilepaskan. Pertama Riza Aziz, terkini Aman Musa, malah ia membawa mesej kemungkinan Najib dan kemudian Zahid akan digugurkan dakwaan. Yang lain hanya menanti 'berita gembira'. Ironinya kes rangkaian 1MDB dan kaitannya di negara lain telah disabitkan penyelewengan.

Saya tegaskan PN tertegak atas kebencian kaum dan agama yang membentuk tahap sokongan penyokong tegarnya. Negara ini menuju ke ekstrim kanan dengan retorik anti-DAP, Islam terancam dan Melayu hilang kuasa'. Kita sedang menyaksikan Malaysia semakin menjadi neo-konservatif dalam tindak tanduk PN.

Kuasa PN bergantung talian hayat kepada kebencian antara kaum dengan risiko Perpaduan Nasional terancam. Isu Melayu Islam dipolitikkan begitu rupa sehinggakan hubungan antara kaum semakin meruncing ke arah gap keharmonian yang semakin melebar.

Kuasa PN juga bergantung kepada sejauhmana aparatus kerajaan dieksploitasikan untuk mengekalkan kuasa termasuk ugutan, ancaman dan pendakwaan terpilih. Semua ini demi sebuah kuasa yang dirampas dan menidakkan mandat rakyat yang jelas mahukan penamatan kepada kebobrokan ini.

Zaman gelap semakin terserlah selagi PH tidak ambil semula mandat. Kuasa yang ada dalam PN tidak stabil dan kesetiaan hanyalah kepada kepentingan apa yang dapat diraih dan bukan untuk mentadbir negara dan rakyat.

Selamat datang zaman gelap dan rakyat sekali lagi akan menderita dengan kehadiran politik elitis, partisan dan kebencian kaum dan agama.

-Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Naib Presiden Amanah dan Ahli Parlimen Parit Buntar


Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!