Bubar parlimen dan dapatkan mandat rakyat - Mohamad Hasan



Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar mengikut jejak Singapura membubarkan parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata, pembubaran parlimen perlu dilakukan segera bagi memastikan Kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.

Anggota Dewan Udangan Negeri (Adun) Rantau itu berkata, sejak Merdeka Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan politik yang sangat tidak stabil seperti mana sekarang.

"Kemajuan, kemakmuran dan kebolehsaingan Malaysia sangat bergantung kepada kestabilan politiknya. Kestabilan politik akan memberi kesan dan pengaruh kepada banyak perkara termasuklah kemasukan pelabur, aktiviti ekonomi dan ketenteraman sosial.
"Keadaan semasa sangat menyukarkan Kerajaan untuk meluluskan pelbagai rang undang-undang yang kritikal termasuklah membentangkan belanjawan bagi memulihkan negara dari kemelesetan ekonomi yang dihadapi waktu ini. 

"Segala usaha untuk memulihkan ekonomi Malaysia, mencipta pekerjaan dan melonjakkan persaingan tidak akan berlaku tanpa Kerajaan yang stabil dan Parlimen yang boleh berperanan melakukan semak dan imbang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamad berkata negara tidak boleh terus menerus diheret dengan debaran ketidaktentuan serta kemungkinan pertukaran kerajaan selang beberapa bulan.

Katanya, hanya kerajaan yang mempunyai mandat dan majoriti yang selesa di Parlimen dapat berfungsi dengan baik dan menumpukan segala fokus kepada memulihkan Malaysia dari segala cabaran besar yang bersifat ‘unprecedented’.

Jelas Mohamad, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, kuasa sebenar dalam sistem demokrasi seperti di Malaysia ialah pada rakyat dan bukannya pada blok ahli Parlimen yang “dibentuk sesedap rasa mengikut keselesaan dan kemahuan ahli politik”.

“Oleh itu, kembalikanlah kuasa tersebut kepada rakyat dan biarlah mereka yang menentukan jalan ke hadapan bagi tanahair tercinta,” katanya lagi.

Beberapa pemerhati politik menjangkakan Muhyiddin bakal membubarkan parlimen selewat-lewatnya hujung tahun ini bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!