TRAGEDI - Suami dan menantu selamat dalam nahas kebakaran




IBU bersama empat anak lelakinya rentung dalam kebakaran di Kampung Binsuluk, Membakut, hari ini.

Mangsa Aishah Jumat, 58, meninggal dunia bersama empat anak lelakinya iaitu Dzulkarnain Othman, 34; Dzulnisham, 27; Rozaini, 26; dan Rosdi, 24.

Dalam kejadian itu juga, dua lagi anaknya berusia 29 dan 25 tahun cedera melecur dan dirawat di Hospital Beaufort.

Suami Aishah, Othman Ali, 64 bersama menantu perempuan berusia 30 tahun selamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, panggilan kecemasan diterima pada 2.54 pagi dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu dikejarkan ke lokasi kebakaran.

"Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya.

"Pasukan bomba berjaya menyekat dan mengawal kebakaran pada 5.50 pagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan menemui mayat lima mangsa rentung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Dua mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba," katanya.

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!