Baru sahaja reda kontroversi isu meminta dana khas untuk artis, nampaknya Black Hanifah terus menjadi mangsa kecaman netizen apabila gambarnya memegang sekotak barangan bantuan telah disalah anggap oleh sesetengah pihak.
Difahamkan semuanya bermula apabila satu posting di Facebook yang mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi tampil menghulurkan bantuan kepada penyanyi itu di hadapan rumahnya.
Bagaimanapun, perkongsian itu disalah faham oleh netizen kerana apa sebenarnya yang berlaku adalah barang berkenaan itu sumbangan daripada Black.
Susulan penjelasan itu, rata-rata netizen meminta supaya orang ramai tidak terus mengecam penyanyi berkenaan. Malah, ada yang beranggapan posting berkenaan sebagai satu fitnah dan boleh menjatuhkan aib seseorang.
Terdahulu, Black dikecam hebat oleh netizen susulan kenyataannya yang mencadangkan agar kerajaan tidak meminggirkan penggiat seni yang terjejas susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).